expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday 15 October 2012

Rahsia Maha antara orang terkaya di Australia

Maha Sinnathamby



SIFAT berwawasan jauh sering dikaitkan dengan Maha Sinnathamby, migran dari Malaysia yang kini mencipta nama sebagai antara ahli perniagaan paling kaya dan berjaya di Australia.


Perkara ini tidak menghairankan jika diimbas kembali kejayaan beliau mengubah kawasan hutan tebal seluas 2,860 hektar 23 kilometer di barat Brisbanne, Queensland, yang tidak dipeduli sesiapa hingga menjadi sebuah Bandar raya penuh terancang paling besar milik persendirian di negara ini, yang lengkap dengan kemudahan pendidikan dan kesihatan bertaraf dunia.


Dalam tempoh dua dekad, kawasan pembangunan berkenaan yang dikenali sebagai Greater Springfield, melahirkan enam kawasan subbandar yang mempunyai 23,000 penduduk.


Kira-kira A$9.6 bilion (RM31 bilion) dibelanjakan untuk membangunkan projek ini -- A$3.5 bilion (RM11.3 bilion) oleh Springfield Land Corporation dan beberapa pihak lain, A$2.5 bilion (RM8.07 bilion) oleh Kerajaan Negeri Queensland dan A$3.6 bilion (RM11.62 bilion) oleh kerajaan tempatan.


Pelaburan ini membawa kepada terdirinya enam sekolah, sebuah universiti, sebuah kolej TAFE, Mater Health Services, sebuah Pusat Data Polaris Peringkat 3+serba canggih, sebuah pusat beli-belah hijau bertaraf enam bintang dikenali sebagai Orion Shopping Centre, projek pembangunan hijau bertaraf empat bintang dikenali sebagai Springfield Tower dan sebuah padang golf hasil reka cipta Greg Norman yang memenangi anugerah antarabangsa.


Semua projek pembangunan ini mendapat pengiktirafan rasmi apabila memenangi FIABCI Prix d' Excellence Awards bagi Komuniti Yang Mempunyai Pelan Induk Terbaik Dunia 2010 setelah bersaing dengan 54 penyertaan lain dari seluruh dunia.


Seperkara yang paling mengagumkan tentang Maha ialah segala pencapaian cemerlangnya itu tidak menjejaskan sifat merendah diri yang sentiasa menjadi amalan beliau.


Tentu ramai yang ingin tahu rahsia di sebalik kejayaan luar biasa anak kelahiran Malaysia yang berasal daripada sebuah keluarga miskin ini.


Rahsianya terkandung dalam sebuah buku tulisan pengarang Scotland bernama Karen McCreadie berjudul "Stop not till the Goal is Reached: The 10 Principles for Fearless Success that Inspired Maha to Build a City".


Ditulis dengan kerjasama penuh Maha serta keluarganya di samping sahabat dan rakan perniagaan beliau, buku ini begitu istimewa kerana ia memberi peluang kepada pembaca untuk mengikuti kisah yang diceritakan sendiri oleh Maha, bukan saja tentang kejayaan, tetapi juga rintangan serta kegagalan yang dialaminya.


Buku ini juga unik kerana ia mengandungi biografi, kes kajian perniagaan dan panduan jaya diri.


Kunci utama untuk merungkai rahsia di sebalik kejayaan Maha terkandung dalam 10 prinsip yang dirujuk oleh tajuk buku ini.


Prinsip ini berasal daripada falsafah silam 'Vedanta', yang menjadi sumber inspirasi dan amalan Maha dalam melayari kehidupannya.


Buku ini merungkai dengan jelas setiap prinsip berkenaan dengan mengabadikan kisah yang diceritakan sendiri oleh Maha dan bagaimana beliau mengamalkannya dalam kehidupan seharian.


Sepuluh prinsip berkenaan ialah: Jadikan idea anda sebagai jalan kehidupan anda; bangkit, berdiri dan jangan berhenti selagi matlamat belum tercapai; bekerjalah dengan tekun; usah gentar – hadapilah semua halangan; malam paling gelita akan berakhir dengan subuh yang terang; ikhlaslah daripada segi pemikiran, kata-kata dan perbuatan; peribadi terbina melalui jatuh bangun dalam kehidupan; setiap orang memiliki kehebatan tersendiri; tetapkan matlamat sendiri; dan semua kuasa ada dalam diri anda.


Bagaimanapun, 10 prinsip tersebut sebenarnya belum mencukupi untuk memahami semangat serta keazaman yang dimiliki ahli perniagaan istimewa ini.


Satu lagi rahsia besar yang menjadi kunci kejayaan Maha ialah asal usul beliau yang serba kekurangan. Beliau dilahirkan pada 1939 di Rantau, Negeri Sembilan dan dibesarkan oleh ibu serta bapanya yang amat menitikberatkan nilai pendidikan.


Di dalam buku ini, Maha menceritakan bahawa tindakan pertama yang dilakukan bapanya setelah dibebaskan daripada kem tawanan perang tentera Jepun ialah mendaftar Maha serta adik beradiknya untuk bersekolah. Maha bersekolah di St Paul's Institution di Seremban.


Oleh itu, tidak hairanlah apabila bidang pendidikan menjadi tumpuan Maha dalam kehidupannya dan ini terbukti apabila beliau memberi perhatian khusus terhadap pembangunan Springfield.


Maha berkata, beliau amat bangga kerana 44.6 peratus daripada penduduk Springfield terdiri daripada pelajar.


Kesimpulannya, buku berkenaan berjaya menyingkap dengan cukup menarik kisah kejayaan seorang usahawan paling cemerlang dan dinamik di Australia. – Bernama

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com