expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Sunday 14 October 2012

22 kali kahwin

Utila, Honduras



SEBAGAI hari paling menggembirakan dalam hidup, memang tiada yang aneh apabila Alex Pelling, 32, dan Lisa Grant, 30, membuat perancangan rapi untuk majlis perkahwinan mereka kecuali ia diadakan secara bersiri di banyak negara berbeza.

Pasangan dari Yorkshire Timur itu mengembara ke serata dunia sejak musim panas lalu untuk meraikan cinta mereka dengan menganjurkan 22 majlis perkahwinan.

Tidak cukup dengan itu, Pelling dan Lisa bersiap sedia mengadakan majlis itu di lapan tempat lain. Lebih penting, pasangan itu mendakwa cinta mereka semakin hangat dari sebelum ini. Setakat ini, mereka meraikan perkahwinan itu bersama ikan lumba-lumba di Hawaii, berpakaian seperti pontianak di Los Angeles, selain pelbagai aksi di pulau di Honduras, di Tasik Michigan, ladang anggur di Quebec, di pantai Mexico, kawasan kampung Banff dan 15 lokasi lain di sekitar Amerika Utara, Selatan dan Tengah.


Alberta, Kanada


Peru



Costa Rica



Ecuador


Menurut Pelling, idea mengadakan majlis perkahwinan di merata-rata tempat itu timbul ketika mereka - yang saling mengenali selama 11 tahun sebelum berpacaran enam tahun - mencari tempat sesuai untuk mengikat hubungan sebagai suami isteri.

Bagi memastikan lokasi itu benar-benar memuaskan hati, mereka mengembara ke pelbagai negara selama dua tahun.

“Ada pihak menawarkan kami di Britain tetapi tidak sesuai dengan apa yang diimpikan.


“Justeru, kami mencari tempat paling sempurna sambil mengembara,” katanya. Tidak lama kemudian, kata Pelling, mereka mendapat idea untuk mengadakan majlis perkahwinan itu secara kecil-kecilan di setiap negara dilawati.

Majlis itu, katanya, diadakan dengan gabungan unsur kebudayaan dan tradisi setempat. “Pada kunjungan terakhir, kami akan memilih lokasi paling sesuai untuk majlis perkahwinan rasmi,” katanya. Sejak perkahwinan pertama mereka di Manchester (yang dianjurkan Pelling secara rahsia dan menjadi kejutan kepada Lisa), pasangan itu mengendalikan blog yang menceritakan pengalaman pengembaraan berkenaan.


Sekumpulan jurugambar profesional pula membantu mendokumentasikan pengalaman itu secara visual. Sesiapa yang ingin menghadiri satu daripada majlis perkahwinan Pelling - Lisa boleh membuat permohonan jemputan di blog berkenaan. Untuk membiayai perjalanan, Pelling menjual bengkel membaiki kenderaan miliknya, serta rumah yang didiami bersama Lisa.

Mematuhi syarat ketat perbelanjaan untuk tempoh secara seminggu, Pelling dan Lisa melakukan perjalanan serta tinggal dalam van Dodge berusia 25 tahun - dinamakan Peggy - bagi mengurangkan kos. Kata Pelling, perbelanjaan untuk perjalanan mereka memang sangat terhad tetapi dia berjaya menguruskannya.

“Kos terbesar kami ialah minyak, tentunya, dan kami berbelanja barang keperluan harian secara mingguan di pasar tempatan untuk berjimat,” katanya. Dalam keadaan begitu, kata Pelling, dia sangat terhutang budi kepada pelbagai pihak yang bermurah hati - seperti jurugambar, pembekal, ahli keluarga dan orang awam - yang menyumbang bagi memenuhi keperluan perjalanan mereka. 



“Semua pihak membantu secara percuma atau sekadar menerima bayaran minimum kerana ingin menyebarkan kasih sayang yang menjadi sebahagian daripada pengembaraan kami,” katanya. Ditanya mengenai masalah dihadapi, pasangan itu berkata, membaik pulih Peggy adalah halangan utama. Kata Lisa, mereka membeli Peggy di Kanada dan sejak itu, kenderaan berkenaan melakukan perjalanan lebih 55,000 kilometer.

“Kami menghadapi masalah minimum, tetapi berdepan kesukaran mengatasinya kerana perbezaan bahasa,” katanya. Mengenai majlis perkahwinan dijalankan di sesebuah lokasi, Lisa berkata ia juga tidak menjadi masalah besar.

“Hanya sekali permohonan kami ditolak kerana tidak sealiran dengan fahaman agama gereja terbabit,” katanya. Walaupun ditolak, kata Lisa, gereja terbabit tetap menjemput menghadiri majlis diadakan dan berdoa untuk kesejahteraan mereka.

Selepas mengadakan 22 majlis perkahwinan, pasangan itu menganggap majlis di Belize sebagai “sangat beremosi, mengharukan dan terlalu indah,” menjadikan ia mungkin paling digemari. Di situ, pasangan Pelling - Lisa mahu melangsungkan perkahwinan di daerah Toledo dengan bantuan kaum Maya setempat.

Namun demikian, disebabkan kawasan itu mengalami hujan lebat seminggu, ia mungkin dilangsungkan ketika jurugambar terkandas 600 kilometer dari situ.

Tiba-tiba, kata Lisa, ketika mereka hampir berputus asa, hujan berhenti dan matahari bersinar pada hari perkahwinan dilangsungkan. Di sebalik ‘keajaiban’ itu, Lisa berkata, mereka belajar sesuatu.

“Tiada sesuatu pun yang boleh diambil mudah,” katanya. Mengenai majlis yang tidak menggembirakan, Lisa berkata, ia berlaku sekali di Pulau Utila, Honduras.

Di situ, katanya, mereka menghadapi masalah apabila majlis dianjurkan ‘diceroboh’ ribuan labah-labah pisang.

“Pengalaman berdepan tetamu di kalangan nelayan mabuk di Chile juga boleh dianggap tidak menyenangkan,” katanya. Menjelang berakhirnya misi mereka, Pelling dan Lisa mendakwa, rasa cinta mereka tetap menebal seperti detik awal pengembaraan bermula. Kata Pelling, dilihat dari aspek tertentu, rasa cinta itu mungkin lebih mendalam berbanding sebelum ini. “Kami bersama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan tinggal dalam van.

“Kami merancang majlis perkahwinan, bertukar-tukar memandu, mengagihkan tugasan dan bergilir menyiapkan sarapan setiap hari,” katanya.

Walaupun begitu, kata Pelling, dia berasa mereka diciptakan memang untuk bersama kerana setiap hari dilalui tanpa sekali pun bertengkar.

“Kami tetap gemuruh setiap kali majlis perkahwinan dilangsungkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com