expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday 30 June 2012

Gangguan sakit leher




BANGUN daripada tidur, anda rasa tidak selesa kerana sukar menggerakkan leher ke kiri dan kanan. Walaupun masalah itu nampak kecil, ia sangat mengganggu.


Apabila sakit leher, yang mampu dilakukan hanya memandang ke depan dan jika ingin melihat ke sisi, keseluruhan tubuh terpaksa digerakkan. 


Ramai mengabaikan sakit di leher kerana beranggapan lama-kelamaan, ia hilang sendiri tanpa perlu dirawat. Bagaimanapun, penting untuk kita memberi perhatian terhadap sakit dialami sebelum keadaan menjadi lebih memudaratkan manakala kos untuk merawatnya pula meningkat. 


Perunding Pembedahan Ortopedik Pusat Perubatan Taman Desa, Dr Ling How Tieng, berkata dalam beberapa kes, punca sakit leher mungkin tidak diketahui tetapi ada beberapa faktor boleh meningkatkan risiko mengalami masalah itu.




 
Antara punca sakit leher ialah ketegangan otot disebabkan melakukan kerja dengan mengadap komputer sepanjang hari. Kedudukan tubuh yang tidak betul serta tidak melakukan aktiviti regangan dan melegakan otot menyebabkan ketegangan pada leher. 


Kerja yang berulang-ulang pula boleh menyebabkan ketegangan otot, misalnya bekerja di barisan pengeluaran kilang atau kerja yang memerlukan pergerakan sangat tepat seperti menjahit. 


“Biarpun sakit dirasakan di leher, ia mungkin berpunca daripada masalah tulang belakang. Sakit leher juga boleh disebabkan oleh otot ketat di kedua-dua leher dan tengkuk, tidur dengan postur tidak betul, kemalangan kecil daripada tindakan kasar atau tekanan fizikal dan emosi,” katanya. 


Sakit leher juga boleh disebabkan duduk di kerusi yang tidak seimbang dengan meja, misalnya meja terlalu tinggi dan kerusi rendah atau sebaliknya, menyebabkan posisi badan tidak betul. Paling ketara, ia berlaku di kalangan mereka yang bekerja di pejabat. 


Osteoartritis atau kerosakan dan kemerosotan tulang rawan turut menjejaskan leher, manakala aktiviti fizikal seperti mengangkat barangan berat boleh menyebabkan kesakitan di tengkuk. 


Tabiat ‘memulas’ leher tidak digalakkan kerana ia memberi tekanan pada sendi dan ligamen. Bagi mereka yang mengalami diska teranjak (slip disc), tindakan itu akan menjadikan sakit bertambah teruk. 


Bersikap positif dalam menghadapi kes sakit leher mungkin kedengaran klise, tetapi sikap itu benar-benar membawa perubahan. 


Perasaan bimbang, marah atau kecewa menyebabkan anda sukar menangani masalah, manakala sikap positif membantu anda mencari cara menanganinya. 


Perkara yang boleh dilakukan untuk meringankan kesakitan termasuk: 


  • Melakukan senaman leher. Menjaga pergerakan leher penting kerana ia membantu mencegah masalah jangka panjang. Senaman mudah dapat membantu menguatkan otot leher dan memperbaiki rangkaian pergerakan anda. 
 
  • Lakukan terapi haba. Dalam tempoh 48 jam pertama selepas mengalami sakit leher, lakukan urutan ais selama lima lima hingga 10 minit di kawasan terjejas. 
 
Untuk sakit yang berlangsung 48 jam atau lebih, tuam di kawasan terjejas untuk membantu mengurangkan kesakitan dan melonggarkan otot. 
 
  • Tidur dengan bantal dalam kedudukan lebih tinggi pada waktu malam bagi menyokong leher. 
 
  • Memakai pendakap leher. Ini digunakan hanya di bawah pengawasan ahli fisioterapi dan dalam masa singkat (dua hingga empat hari). 



 
Pengambilan paracetamol atau ibuprofen boleh membantu melegakan kesakitan. Jika sakit berterusan, segera dapatkan rawatan doktor. Mereka mungkin boleh merujuk anda kepada ahli fisioterapi jika perlu.


Lakukan senaman, termasuk senaman leher, jika anda duduk dalam satu kedudukan untuk jangka masa panjang di depan komputer hingga membebankan otot di bahu dan leher.


Selain itu, selalu regangkan lengan, pergelangan tangan dan jari atau bangun dan berjalan-jalan jika keletihan otot bagi mengelak ketegangan dan kecederaan yang mungkin berlaku.


Cara duduk yang tidak betul, terutama ketika bekerja di depan komputer, boleh membebankan bahagian atas badan, sekali gus menyebabkan sakit belakang dan bahu. Langkah mengelakkan sakit leher ialah betulkan postur badan ketika duduk.



Melaraskan postur tubuh anda dapat membantu melegakan sakit belakang iaitu:


Berdiri

 
  •   Berdiri tegak dengan kepala menghadap ke depan.
  •   Pastikan belakang anda lurus.
  •   Mengimbangi berat badan anda sama rata pada kedua-dua kaki.
  •   Pastikan kaki anda lurus.
  •   Duduk.


Duduk tegak

 
  • Pastikan kaki anda rata di atas lantai. Anda mungkin mendapati kusyen kecil berguna untuk menyokong belakang anda.


Mengangkat dan mengendalikan barang
 

Mulakan dengan kaki anda iaitu sebelah kaki sedikit ke depan untuk mengekalkan keseimbangan. 


  • Apabila mengangkat, bengkokkan sedikit belakang, lutut dan pinggul anda, tetapi tidak berbongkok atau mencangkung. Kaki anda harus menampung tekanan.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com