expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday 30 May 2012

Konflik tiada noktah









PATTANI: Konflik bersenjata di Selatan Thailand yang tercetus mulai 28 April 2004 selepas 32 lelaki Islam yang berlindung di Masjid Krisek, di sini, ditembak mati tentera negara Gajah Putih itu, masih tiada penghujungnya. 


Kejadian tembak-menembak sama ada membabitkan pihak tertentu yang didakwa pemisah Islam atau pengedar dadah dengan polis atau tentera dan pengeboman kereta masih berlaku sama ada di kawasan bandar atau kampung.
 

Ia seolah-olah tiada noktah sekalipun sengketa berkenaan sudah meragut banyak nyawa sama ada di kalangan penduduk awam, tentera mahupun polis.
Pergolakan yang berlaku itu bukan baru, malah ia sudah bermula sejak 1781 lagi apabila wilayah kesultanan Melayu Fathoni Darul Salam atau Pattani dikuasai kerajaan Siam.


Penulis bersama jurugambar berpeluang membuat tinjauan di wilayah bergolak itu selama hampir 10 hari baru-baru ini dan sepanjang berada di sana, sekurang-kurangnya lima kejadian tembakan membabitkan golongan pemisah Islam bersenjata ditembak tentera atau tembakan curi dilaporkan berlaku di Pattani dan Yala, wilayah yang bersempadan dengan Kelantan.


Dalam kejadian terbaru pada 31 Mac lalu, 14 orang terbunuh termasuk dua rakyat Malaysia dan lebih 500 lagi tercedera dalam kejadian letupan di Hat Yai (dalam wilayah Songkhla), Yala dan Narathiwat yang dilaporkan berlaku hampir serentak.


Setakat ini, tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab atas kejadian yang berlaku itu menyebabkan pihak berkuasa buntu dalam mengesan pihak yang bertanggungjawab. Ada yang menuduh ia angkara pemisah Islam, tetapi tidak kurang juga mengatakan ia perbuatan kumpulan pengedar dadah yang sanggup mengupah penagih untuk mencetuskan huru-hara.


Bagaimanapun, kebenaran dakwaan itu masih samar kerana ia hanya sekadar cakap-cakap atau khabar angin sahaja.


Kejadian itu secara tidak langsung menyebabkan kedamaian hidup 1.2 juta penduduk tiga wilayah berkenaan yang bersempadan dengan Kelantan iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat masih dibelenggu kebimbangan walaupun Bangkok sudah menghantar hampir 60,000 anggota tentera ke wilayah itu bagi mengembalikan keamanan.


Sekatan jalan raya dan pemeriksaan tentera serta polis yang lengkap bersenjata raifal ketika melalui jalan utama atau kawasan hitam adalah rutin harian yang dilalui penduduk sepanjang masa walaupun kadangkala ia agak merimaskan.


Tentera bermotosikal turut meronda kawasan kampung dari semasa ke semasa bagi menjaga keselamatan penduduk.


Pemberontakan ini mungkin tercetus kerana penduduk Islam berasakan wilayah mereka dijajah pemerintah bukan Islam, identiti mereka ditukar daripada Melayu ke Siam, agama mereka tidak dihormati, bangsa mereka dianaktirikan manakala hasil bumi dinikmati orang lain.


Bagi penduduk, kejadian yang berlaku sejak sembilan tahun lalu masih ‘berdarah’ sekalipun kerajaan Thailand sudah menggunakan pelbagai pendekatan bagi menawan hati penduduk agar kehadiran mereka di wilayah itu.


“Kami tetap tidak akan melupakan peristiwa sedih di Masjid Krisek. Sehingga kini, setiap kali melihat masjid itu pasti terbayang mayat bergelimpangan. Mereka tidak bersenjata kenapa tentera terburu-buru menembak mereka sedangkan ia boleh diselesaikan dengan berunding.


“Penduduk menganggap mereka mati syahid kerana mempertahankan Islam,’’ kata seorang penduduk yang tinggal berhampiran Masjid Krisek ketika ditemui.


Ramai penduduk beranggapan pertumpahan darah dan keganasan yang berlaku adalah tindak balas daripada peristiwa Masjid Krisek itu kerana apa pun terjadi, penduduk Islam tidak boleh menerima hakikat saudara seagama mereka mati ditembak di dalam rumah Allah.


Mereka turut menyamakan wilayah selatan Thailand yang bergolak sebagai ‘Palestin Timur’ kerana menurut mereka, situasi di penempatan mereka sama seperti dihadapi penduduk di Palestin yang ditindas rejim zionis.


Dan sehingga hari ini, kerajaan Thailand masih buntu untuk menamatkan keganasan di wilayah itu manakala penduduk Islam seolah-olah tidak peduli dengan apa juga usaha kerajaan Thailand kerana perasaan marah dan kecewa masih terpahat kukuh.


Malah, mereka menganggap semua tindakan kerajaan Thailand bagi menangani isu di selatan negara itu hanyalah satu sandiwara.


Bagi seorang pekerja salun beragama Islam di Narathiwat, Nordi Ayu, 35, dia masih berasa bimbang untuk pulang ke kampung halamannya di Bacho, Pattani, jika tidak memakai tudung dan menutup aurat kerana apa saja boleh berlaku.


“Saya masih bimbang dengan keselamatan diri kerana masih banyak berlaku kes tembak dan pengeboman. Walaupun takut, tetapi kehidupan harian perlu diteruskan. Kerajaan Thailand kini lebih peka dengan masyarakat Islam dan mula membantu serta mendekati mereka berbanding sebelum ini.


“Banyak bantuan diberikan bagi menunjukkan kerajaan tidak menganaktirikan masyarakat Islam.


“Jika dulu di sekolah, pelajar tidak dibenarkan langsung bercakap Melayu dan jika ditangkap boleh didenda tetapi kini pelajaran bahasa Melayu boleh diajar di sekolah kerajaan,” katanya pada pertemuan di Narathiwat, baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com